.

.

PENGERTIAN PUASA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH SYARA'.

Puasa dari segi bahasa bermakna : menahan daripada sesuatu.
Sebagaimana ayat  :-
 

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا

 
Maksudnya : Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.
 
[ Surah Maryam, Ayat : 26 ]
 
Maksud dalam ayat ini ialah menahan diri daripada berkata-kata .
 
Adapun makna dari segi istilah syara` ialah  menahan diri daripada nafsu syahwat dan nafsu perut dan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada fajar (masuk waktu subuh ) sehingga terbenam matahari beserta dengan niat untuk berpuasa .

  PENGERTIAN HUKUM PUASA

Puasa merupakan kewajipan kepada setiap orang islam berdasarkan kepada Al-Quran , Hadis, Ijmak ulamak dan Qias. Sebagaimana Firman Allah Taala yang berbunyi :
 
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
 
Maksudnya  : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
 
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 183]
 
Dan berdasarkan kepada firman Allah Taala :
 
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
 
Maksudnya : Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu.
 
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 185]
 
 
Di dalam hadis pula disebut , Islam itu terbina di atas lima perkara dan salah satu daripadanya ialah puasa pada bulan Ramadhan . Oleh sebab itu telah bersepakat Ulamak mengatakan puasa itu hukumnya wajib keatas orang islam yang sudah akil baligh ( cukup umur) dan berkuasa . Ianya tidak diwajibkan  kepada orang kafir atau orang gila atau kanak-kanak  yang belum baligh, tetapi hendaklah dilatih untuk membiasakan diri mereka dengan puasa .

  SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
 
Syarat-syarat wajib puasa adalah :

1. Berakal: Orang yang gila tidak wajib puasa.
2. Baligh (umur 15 tahun ke atas) atau tanda yang lain. Kanak-kanak kecil tidak wajib puasa.
Sabda Rasulullah s.a.w:
رفع القلم عن ثلاثة : عن النائم حتى يستيقظ وعن الصبي حتى يحتلم ، وعن المجنون حتى يعقل
Maksudnya : Tiga golongan terlepas dari hukum: (a) Orang yang tidur sehingga dia bangun (b) Orang gila sehingga dia sembuh (c) Kanak-kanak sehingga dia mencapai umur baligh.
 
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
 
3. Mampu berpuasa. Orang yang tidak mampu samada kerana tua atau sakit tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa.
 
Firman Allah s.w.t:
 
وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
 
Maksud: Sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan, maka hendaklah dia berpuasa di hari lain. Allah menghendaki keringanan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran ke atas kamu.
 
[Surah Al-Baqarah, Ayat: 185]
 
Firman Allah s.w.t:
 
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
 
Maksud: Dan ke atas orang yang mampu tetapi amat payah menunaikannya (kerana tua, lemah atau sebagainya) hendaklah dia membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin. 



0 Response to " PENGERTIAN PUASA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH SYARA'."